Thursday, September 2, 2010

GE6573 PROMOSI & PASARAN TEK. MAKLUMAT SEM 1 2010/2011



Pelbagai kaedah dan strategi boleh dilaksanakan dalam mempromosi dan memasarkan bahan berkaitan Teknologi Maklumat. Ianya boleh dilakukan samada secara manual atau digital. Samada secara berteknologi tinggi atau rendah dan tidak kira masa, tempat dan situasi. Tujuan promosi adalah untuk memberi pendedahan maklumat kepada seluruh masyarakat tentang sesuatu produk agar mendapat sumber yang tepat. Sementara pemasaran pula adalah strategi yang digunakan untuk membolehkan sesuatu produk dapat diterima dan digunapakai oleh pengguna.

Justeru itu, huraikan 5 faktor yang menghalang aktiviti promosi pendidikan dan 5 cadangan untuk mengatasi masalah tersebut.

Tugasan anda:-

* Gunakan bahasa perbincangan yang formal dari segi isi, contoh dan penjelasan.

* Sertakan di akhir perbincangan NAMA dan No. Pelajar

* Masukan data dan fakta serta rujukan yang terbaru (minimum 5 rujukan jurnal atau kertas kerja)

* Post sebelum 23 Sept 2010.

16 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Berikut disenaraikan 5 faktor yang menghalang aktiviti promosi pendidikan & cadangan untuk mengatasi masalah tersebut.


    1) Kekurangan info-struktur & infrastruktur yang sesuai. Info-struktur merujuk kepada sistem yang menentukan pengaliran maklumat yang efektif dan info-struktur masa kini berasaskan teknologi. Kualiti info-struktur banyak bergantung kepada tahap ianya dapat diakses dan digunakan oleh komuniti. Sebagai contoh, walaupun kerajaan melalui projek-projek pembudayaan ICT di sekolah-sekolah seperti projek SchoolNet telah merintis jalan ke arah
    menyediakan akses kemudahan ICT dan Internet kepada sejumlah 10,000 buah sekolah di seluruh negara, hakikatnya masih banyak lagi
    sekolah di luar bandar yang tidak mendapat kemudahan tersebut. Penyelesaian ini berkait rapat dengan struktur geografi dan pembangunan infrastruktur kawasan pedalaman itu sendiri yang sukar ditembusi untuk tujuan penyambungan.(Aspirasi Digital, Edisi 8 - September & Oktober 2007)

    Cadangan mengatasi:

    Memastikan semua sekolah dilengkapi dengan kemudahan ICT dan meningkatkan akses serta penerimaan ICT oleh kumpulan yang kurang menerima akses perkhidmatan.

    2) Ketiadaan kemahiran maklumat & ict.(Mashkuri Yaacob et. al, 2002).
    Ketiadaan kemahiran dalam teknologi maklumat menyukarkan proses pengajaran & pembelajaran yang berasakan teknologi. Justeru, mereka yang tidak berkemahiran ini, lebih suka menggunakan kaedah p&p yang konvensional.

    Cadangan mengatasi:

    Kemahiran ICT perlu disemai di kalangan semua kumpulan penduduk, tidak kira umur, gender dan kaum. Sekolah-sekolah, pusat-pusat pengajian tinggi dan agensi-agensi swasta boleh memainkan peranan mereka di dalam melatih penduduk menggunakan teknologi Internet, sama ada melalui pendidikan formal atau tidak formal. Sektor-sektor swasta berperanan membangunkan modul-modul pembelajaran-kendiri bagi pengoperasian komputer, rekabentuk web dan melayari web di dalam bahasa-bahasa tempatan. (Mashkuri Yaacob et. al, 2002).


    ROSYIATIMAH BINTI ISMAIL (P54095)

    ReplyDelete
  3. samb..

    3) Akses / kos pengendalian ICT terlalu mahal. (Wahyu binti Idrus & Yahya Buntat). Tiada akses kepada internet serta talian akses yang perlahan merupakan cabaran yang dirasai di sekolah-sekolah tertentu. Begitu juga sekolah yang tidak mempunyai komputer (kecuali untuk urusan pentadbiran) atau kuasa elektrik memberikan cabaran yang hebat dalam mempromosikan penggunaan TMK di sekolah.

    Cadangan mengatasi:

    Akses Internet mestilah mampu dimiliki oleh rakyat terbanyak melalui pengurangan kos perkakasan seperti komputer, komputer riba dan telefon mudah alih di samping pengurangan semua kos akses dalam talian. Langkah-langkah ke arah ini termasuklah melipat gandakan usaha penyelidikan dan pembangunan dalam pembuatan PC yang lebih murah, menggalakkan persaingan perkhidmatan telefon untuk memacu kos lebih rendah, berkadar tetap dan caj berasaskan lebar jalur sebagai ganti caj setiap minit, serta diskaun ke atas kadar akses Internet kepada pelajar-pelajar. (Aspirasi Digital, Edisi 8 - September & Oktober 2007)

    4) Kekurangan bahan pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Melayu. Pembangunan kandungan tempatan di dalam Bahasa Inggeris dan
    bahasa-bahasa tempatan, terutamanya Bahasa Melayu hendaklah dipertingkatkan bagi membantu program-program yang sedang dilaksanakan oleh MSC. Faedah inisiatif ini akan juga membantu usaha mengekalkan dan memelihara budaya tempatan, sejarah dan bahasa dan seterusnya membantu ke arah pembinaan negara.(Wahyu binti Idrus & Yahya Buntat)

    Cadangan mengatasi:

    Menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran yang baik & berkesan serta mewujudkan lebih banyak portal pembelajaran tempatan seperti portal pendidikan Utusan dan Berita Harian, , CikguNet, Guru Bestari dan lain-lain.(Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001).

    5) Kos bahan pembelajaran yang mahal & tinggi. Kos bahan pembelajaran yang original agak mahal dan tinggi hanya mampu dimiliki oleh golongan yang berkemampuan, berkomputer atau mereka yang benar-benar mementingkan pelajaran anak-anak mereka. Contohnya ialah Praktis Jaya Smart UPSR Virtual School yang mengandungi CD ROM matapelajaran Sains, Bahasa Melayu dan Matematik yang setiap satunya berharga RM39.90. Kelebihannya ialah nota yang ringkas dan padat, beranimasi, warna yang menarik dan soalan pengukuhan beserta jawapan penyelesaian bagi setiap topik.(Wahyu binti Idrus & Yahya Buntat)

    Cadangan mengatasi:

    Sekolah-sekolah mempunyai pusat sumber, jadi apa salahnya jika gunakan tabung sekolah untuk membeli CD ROM interaktif ini dan memberi pinjaman kepada pelajar untuk dibawa balik ke rumah seperti meminjam buku.

    ROSYIATIMAH BINTI ISMAIL (P54095)

    ReplyDelete
  4. 5 faktor yang menghalang aktiviti promosi pendidikan:


    i. Promosi melalui digital: Laman web tidak mempunyai ciri-ciri yang boleh menarik minat pelanggan tempatan.

    Kaedah dan strategi bagi mempromosi dan memasarkan bahan-bahan yang sering digunakan adalah secara digital dengan menggunakan pelbagai jenis teknologi. Contohnya penggunaan laman web oleh kebanyakan organisasi pendidikan sama ada awam mahupun swasta. Ia dilihat sebagai medan perantara yang sangat sesuai bagi tujuan mempromosi bahan-bahan serta aktiviti-aktiviti pendidikan.

    Namun, di awal perkembangan teknologi web dan penggunaan laman web ini, terdapat masalah seperti tidak mempunyai ciri-ciri yang boleh menarik pengunjung laman web tersebut selain mempunyai interaktiviti yang rendah.

    Menurut Norhayati Abdul Mukti dan Halimah Badioze Zaman (2001), didapati ciri-ciri laman web bagi syarikat perniagaan sederhana dan kecil di Lembah Klang tidak mempunyai ciri-ciri laman web yang tersendiri atau ciri-ciri tempatan yang boleh menarik minat pelanggan tempatan.


    ii. Tahap pendidikan (masyarakat yang terlibat)

    Aktiviti promosi pendidikan yang dijalankan di negara kita biasanya melibatkan masyarakat tempatan mahupun luar negara. Bagi masyarakat tempatan pula dapat dikategorikan kepada penduduk bandar dan luar bandar. Penduduk di bandar secara umumnya tidak mempunyai masalah dalam penerimaan maklumat mengenai aktiviti promosi pendidikan yang dilangsungkan memandangkan kebanyakan mereka mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi berbanding penduduk di luar bandar.

    Masalah tersebut timbul berikutan pelbagai kekangan yang dihadapi mereka dalam mendapatkan pendidikan antaranya faktor geografi, kewangan, taraf hidup, jaringan perhubungan dan sebagainya. Contohnya, penduduk di kawasan-kawasan pedalaman tidak mendapat pendidikan awal yang sepatutnya diterima oleh masayarakat mereka. Namun, mereka tidak mendapat pendidikan akibat beberapa masalah tersebut.

    Faktor-faktor kekangan tersebut yang membantutkan tahap pendidikan penduduk di luar bandar seterusnya menjadi penghalang kepada aktiviti promosi pendidikan di negara kita. Menurut Kamal Halili Hassa dan Fariza Ahmad (2005), tahap pendidikan merupakan faktor yang signifikan dalam mempengaruhi penggunaan E-dagang. Terdapat masalah dalaman seperti kurangnya ilmu berkaitan harta intelek dan ilmu pengurusan meupakan antara faktor yang mempengaruhi pemasaran (Sazelin Arif ,2009)

    SITI FAIRUZ NURR (P52386)

    ReplyDelete
  5. Sambungan...


    iii. Pengalaman Penggunaan Teknologi (seperti komputer dan internet)

    Di awal pengenalan teknologi baru seperti internet dan komputer, masyarakat kita kurang mendapat pendedahan yang sewajarnya sehingga mereka seolah-olah ‘takut’ dan fobia menggunakan teknologi tersebut. Disamping perasaan ingin tahu yang kurang dikalangan mereka mengakibatkan mereka tidak tahu dan tidak mahu menggunakan komputer dan internet.

    Pada masa kini, teknologi berkembang dan terus berkembang mengikut peredaran zaman, kita tidak seharusnya ditinggalkan oleh dunia teknologi. Contohnya, terdapat segelintir penduduk diluar bandar yang tidak tahu langsung menggunakan komputer dan internet. Kebanyaknnya mendapatkan maklumat menerusi keratan akhbar, radio dan televisyen sahaja sedangkan pelbagai maklumat lanjut boleh diperoleh di internet pada bila-bila masa dan dimana jua.

    Menurut Kamal Halili Hassa dan Fariza Ahmad (2005), pengalaman internet pengguna merupakan faktor yang signifikan dalam mempengaruhi penggunaan E-dagang. Oleh itu, faktor pengalaman penggunaan internet dapat dilihat sebgai faktor yang menghalang aktiviti promosi pendidikan.


    iv. Tahap kelajuan capaian internet – masa pencapaian laman sesawang yang lama

    Terdapat masalah yang tidak dapat dielakkan seperti masa yang lama diperuntukan oleh sesetengah individu bagi mendapatkan capaian pada laman sesawang. Ia mungkin disebabkan masalah yang berlaku pada komputer itu sendiri ataupun tahap kelajuan internet yang sangat lambat. Masalah ini akan mengakibatkan timbulnya kebosanan menunggu dan menggunakan komputer berinternet untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini.

    Contohnya, sesetengah individu memerlukan masa lebih kurang 15minit untuk membuka komputer, seterusnya memerlukan masa 10 minit untuk mendapatkan paparan utama capaian papa laman sesawang tidak termasuk paparan-paparan yang seterusnya. Masa pencapaian laman sesawang yang lama merupakan faktor yang menghalang penggunaan E-dagang (Ward & Lee 2000) dan (Othman et al 2003).


    v. Kos Perbelanjaan dan Kekangan Masa

    Berdasarkan laporan penuh Pameran Pendidikan Luar dan Dalam Negara: Januari hingga Disember 2009, Unit Promosi & Pendidikan, Pusat pengurusan Siswazah UKM, antara kos sebenar perbelanjaan tertinggi yang dibelanjakan adalah mencecah RM 33, 959.00 bagi seorang peserta pada 29 – 30 April 2009 di Sarajevo, Bosnia Herzegovina. Ia dapat dilihat kos yang sangat tinggi yang perlu dibelanjakan bagi tujuan promosi tidak termasuk kos keseluruhan promosi pada tahun itu. Disamping kekangan masa tidak membolehkan promosi yang dilangsungkan berkesan secara keseluruhan dalam masa yang singkat iaitu diantara 1 hingga 5 hari.

    Peruntukan kewangan yang rendah untuk tujuan pemasaran boleh membantutkan usaha-usaha untuk memaklumkan aktiviti kepada masyarakat (Azilah Kasim, 2006). Oleh itu, aktiviti promosi memerlukan kos perbelanjaan yang sangat tinggi dan peruntukan perlu disalurkan bagi tujuan promosi pendidikan ini.

    SITI FAIRUZ NURR SADIKAN (P52386)

    ReplyDelete
  6. Sambungan...

    5 cadangan untuk mengatasi masalah tersebut:

    Selaras dengan penekanan Pelton, David dan Lumpkin (2007), penerapan budaya pemasaran memerlukan penyempurnaan beberapa tahap seperti berikut:

    i. Kesedaran pihak pentadbir untuk mewar-warkan kepada masyarakat.
    ii. Penubuhan satu badan khas untuk memikir, merancang dan melaksanakan strategi pemasaran dan perhubungan awam.
    iii. Merekabenetuk satu Perancangan Pemasaran dan Perhubungan Awam yang mengambil kira situasi sasaran, sumber yang diperlukan dan sebagainya.
    iv. Melaksanakan setiap strategi pemasaran dan perhubungan awam yang dirancang dengan bersungguh-sungguh dan secara berterusan

    Bagi mengatasi masalah seperti yang dinyatakn dia atas, cadangan yang boleh dilaksanakan adalah seperti berikut:

    i. Bagi mengatasi faktor penghalang yang pertama, iaitu promosi melalui digital: Laman web tidak mempunyai ciri-ciri yang boleh menarik minat pelanggan tempatan, dicadangkan organisasi yang terlibat menyediakan platform yang menarik yang mempunyai interaktiviti yang tinggi disamping memaparkan maklumat seoptimum yang boleh.

    ii. Bagi mengatasi faktor penghalang yang kedua, iaitu tahap pendidikan (masyarakat yang terlibat), pelbagai insentif kerajaan telah dilaksanakan bagi membantu masyarakat di kawasan pedalaman tidak ketinggalan dari segi pendidikan dan mendapat pendidikan yang sewajarnya seperti pembinaan sekolah-sekolah di kawasan pedalaman.

    iii. Bagi mengatasi faktor penghalang yang ketiga, iaitu pengalaman penggunaan teknologi (seperti komputer dan internet), kini disekolah-sekolah terdapat makmal komputer yang disediakan khusus untuk para pelajarnya serta staf-staf sekolah tersebut untuk belajar menggunakan komputer dan internet supaya mereka tidak menjadi seorang yang dikatakan ‘buta komputer’.

    iv. Bagi mengatasi faktor penghalang yang keempat, iaitu tahap kelajuan capaian internet – masa pencapaian laman sesawang yang lama, terdapat pelbagai usaha-usaha yang dijalankan oleh organisasi yang terlibat dalam penyediaan jaringan internet dinegara kita dengan memperkenalkan promosi yang hebat bagi mendapatkan capaian yang tinggi dengan bayaran yang rendah.

    v. Bagi mengatasi faktor penghalang yang terakhir, iaitu kos perbelanjaan dan kekangan masa, seharusnya pihak-pihak yang terlibat menyediakan kos peruntukan yang tinggi dalam mencapai misi aktiviti promosi pendidikan ini disamping menggunakan sumber yang ada secara optimum. Contohnya penggunaan sumber terbuka berbanding sumber yang berbayar dapat mengurangkan kos yang banyak.

    SITI FAIRUZ NURR SADIKAN

    ReplyDelete
  7. Sambungan...

    Rujukan:

    1. Prof Madya Kamal Halili Hassa dan Dr Fariza Ahmad, (2005) E- Dagang dan Perlindungan Pengguna di Malaysia: Undang-undang dan Amalan. Prosiding Seminar Kebangsaan E-Komuniti, UKM. Putrajaya.

    2. Norhayati Abdul Mukti, and Halimah Badioze Zaman, (2001) Penggunaan Internet Dalam Perniagaan di Kalangan Syarikat di Lembah Kelang. Jurnal Antarabangsa Teknologi Maklumat, 9 . pp. 58-90.

    3. Azilah Kasim, (2006) Program Pemasaran dan Perhubungan Awam Institusi Pemuziuman: Pengajaran Dari Los Angeles County Museum Of Arts. IJMS 13 (2), 119-149

    4. Sazelin Arif, 2009. Keupayaan Pemasaran Dalam Kalangan Pengusaha Kecil Makanan Halal di Melaka Tengah: Satu Kajian Awal. MALIM Bil. 10, 183- 207

    5. Laporan Penuh Pameran Pendidikan Luar dan Dalam Negara: Januari Hingga Disember 2009, Unit Promosi & pendidikan, Pusat Pengurusan siswazah, UKM.

    SITI FAIRUZ NURR SADIKAN (P52386)

    ReplyDelete
  8. 5 faktor yang menghalang aktiviti promosi pendidikan beserta cadangan untuk mengatasi masalah tersebut.
    1) Kepakaran Yang Terhad
    Seseorang guru yang mempunyai komputer mempunyai kaitan dengan tahap penggunaan internet. Seorang guru harus mempersiapkan dirinya untuk menguasai ilmu teknologi maklumat agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan sempurna. Menurut Zoraini (2000) dalam proses mengimplementasikan program berasaskan komputer di sekolah, seseorang guru biasanya dilatih tetapi bilangannya amat terhad. Sunal (1996) mendapati pembelajaran yang bermakna boleh dicapai melalui penggunaan sumber daripada internet oleh pelajar. Namun demikian perkara ini tidak akan berlaku sekiranya pengetahuan dan pengalaman seseorang guru adalah terhad terhadap penggunaan internet.Oleh yang demikian tujuan untuk menyebarkan maklumat tentang sesuatu tidak dapat disampaikan dengan begitu baik seandainya guru tidak didedahkan dengan kepentingan dan kecanggihan teknologi pada masa kini.
    CADANGAN MENGATASI:
    Latihan untuk meningkatkan kepakaran dan inisiatif guru
    Dalam usaha melahirkan guru yang mahir menggunakan komputer dan internet, latihan yang berkesan perlu diberikan kepada para guru. Sehubungan dengan itu, para guru telah diberi pinjaman untuk pemilikan komputer bagi meluaskan pengetahuan mereka tentang kemudahan dan penggunaan komputer dan ICT. Untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu inovasi dalam pendidikan, seharusnya penglibatan para guru di awal-awal telah diketengahkan. Strategi yang dapat menentukan agar input dan penglibatan guru itu sentiasa diperolehi secara konsisten dan sistematik. Para guru perlu diberi latihan, kursus, maklumat dan pengetahuan yang seiring dengan perkembangan teknologi khususnya dalam internet dan ICT.

    ReplyDelete
  9. 2) Kekurangan peralatan
    Kajian yang dijalankan oleh Sunal (1996) mendapati masalah utama penggunaan internet dalam pengajaran ialah keperluan untuk menambah akses internet supaya proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Mengikut McKenzie (1996) yang menyatakan guru memerlukan 6 sehingga 8 unit komputer di sekolah rendah dan 10 sehingga 15 unit komputer di sekolah menengah untuk membolehkan program berasaskan teknologi dilaksanakan dengan berkesan di sekolah. Namun demikian, kemudahan ini sukar diperolehi kerana kebanyakan sekolah hanya menawarkan akses internet untuk satu atau sua komputer yang terletak di perpustakaan atau makmal komputer sahaja. Ini mengakibatkan proses pencarian maklumat terbantut kerana pelajar hanya tertumpu untuk mencari bahan kajian atau kerja kursus mereka dengan bergantung harap pada buku-buku rujukan yang terdapat di pusat sumber sahaja. Terdapat juga peralatan komputer di sekolah yang telah rosak bertahun-tahun dan tidak diganti. Ini menyukarkan pelajar untuk mengakses maklumat dan mencari bahan kajian yang betepatan dengan bidang mereka.

    CADANGAN MENGATASI:
    Penyediaan kemudahan
    Untuk meningkatkan penggunaan komputer di kalangan para guru, Zoraini (2000) telah mencadangkan supaya bilik guru sekolah dilengkapi dengan komputer yang dilengkapi dengan kemudahan untuk akses ke internet. Cadangan ini merupakan langkah pertama untuk memudahkan para guru mengakses internet melalui komputer yang disediakan kepada para guru. Kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat mendapati 95% sekolah telah dilengkapi dengan komputer dan akses kepada internet (Mendels, 2000). Dalam usaha untuk meningkatkan penggunaan internet di kalangan guru, guru yang mengajar di pendalaman juga ketinggalan. Kerajaan telah mengambil langkah bijak dengan memperkenalkan Projek Internet Desa dengan menempatkan beberapa stesen internet di beberapa kawasan pendalaman di Sabah dan Sarawak seperti di kawasan Kota Samarahan dan Bario (Rozana, 2000). Penempatan beberapa stesen internet tersebut membolehkan mereka yang berada di kawasan tersebut mengakses internet dan dapat berhubung dengan mereka yang berada di dunia luar.

    3) Masalah Maklumat Tidak Tepat
    Keistimewaan internet ialah tiada seorangpun yang memilikinya dan mengawalnya. Semua orang mempunyai hak untuk menyampaikan dan menyiarkan sebarang maklumat di internet. Ini menyebabkan terdapat banyak maklumat yang tidak tepat di internet. Maklumat ini boleh mendatangkan mudarat sekiranya para remaja terutamanya golongan pelajar tidak dapat membezakan maklumat yang betul dan maklumat yang salah. Ini akan menjejaskan matlamat pengajaran dan pembelajaran melalui internet (Nancy, 1997). Oleh yang demikian, guru perlu berupaya untuk menilai maklumat yang diperolehi daripada pelbagai media dan pelbagai sumber serta membezakan ketepatannya supaya dapat membimbing pelajar mendapatkan maklumat yang tepat dan betul.

    CADANGAN MENGATASI:

    Pengawalseliaaan penggunaan internet di sekolah
    Memandangkan kandungan internet yang amat luas dan tiada kawalan, maka satu kawalan pengawalseliaan yang berkesan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan para pelajar terdedah kepada maklumat yang berunsur negatif dan tidak bermanfaat terhadap proses pembelajaran mereka. Dengan menggunakan pelbagai media, kebolehan capaian terhadap sesuatu isi kandungan dapat dipelbagaikan. Sumber rujukan elektronik seperti ensaiklopedia, tutorial interaktif, buku elektronik dan sebagainya yang merupakan sumber elektronik dalam proses P&P membantu seseorang pelajar meningkatkan kebolehcapaian dalam internet.

    ReplyDelete
  10. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  11. 4) Masalah Penggunaan Bahasa

    Sebahagian besar maklumat di Internet tersedia dalam bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris penting kerana terkenal sebagai bahasa antarabangsa. Selain digunakan untuk berkomunikasi, Bahasa Inggeris juga digunakan dalam pelbagai jurnal dan bahan bacaan. Namun masih tidak banyak maklumat yang dibekalkan dalam bahasa Malaysia. Guru seharusnya menguasai bahasa Malaysia dan Inggeris supaya dapat memudahkan pencarian maklumat dan bahan rujukan sebagai input tambahan untuk dibekalkan kepada pelajar. Ini untuk mengelakkan dari pelajar keciciran dari segi pelajaran tentang maklumat yang terkini dan isu semasa.
    CADANGAN MENGATASI:
    Menghadiri kursus
    Seiring dengan arus kemodenan negara, rakyat Malaysia haruslah menguasai dwi bahasa tersebut. Pelbagai kursus berkaitan komputer dan teknologi maklumat dilakukan secara dwi bahasa agar pengguna boleh memahami aplikasi penggunaan komputer dan internet. Selain itu, guru-guru juga digalakkan untuk berkarya sama ada dalam bahasa ibunda ataupun bahasa antabangsa, justeru itu dapat berkongsi pengetahuan dengan pengguna maklumat yang lain. Rujukan dalam bahasa Malaysia juga haruslah dipelbagaikan agar pencaraian maklumat mengenai sejarah dan bahan –bahan arkib mudah diakses dan disampaikan memandangkan pengguna maklumat di kawasan pedalaman menghadapi kesukaran untuk memahami bahasa Inggeris.

    5) Masalah Akses/Capaian Kepada Internet
    Walaupun telah dikategorikan dalam negara membangun, namun masih terdapat kawasan pedalaman yang masih mengalami kesukaran atau gangguan untuk mengakses internet atau capaian internet. Beberapa daerah di Malaysia masih lagi belum mempunyai jalur telefon ataupun rangkaian telefon bersel. Inikan pula perkhidmatan jalur lebar yang telah diwar-warkan penggunaannya. Oleh itu, ini merumitkan lagi keadaan untuk mempromosikan kepentingan pendidikan di kawasan pedalaman yang berada di luar liputan perkhidmatan.

    CADANGAN MENGATASI

    Mempertingkat perkhidmatan di kawasan luar Bandar
    Pihak yang berkenaan haruslah bertanggungjawab untuk memajukan kawasan pedalaman dengan mengadakan atau menambah servis panggilan serta capaian internet supaya penduduk luar Bandar tidak keciciran dari segi teknologi baru. Tenaga pengajar yang mencukupi juga harus disalurkan untuk membantu mereka yang berada di kawasan luar bandar ini untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam mempelajari ilmu-ilmu berkaitan sains dan teknologi. Kerajaan juga harus menyelesaikan isu berkaitan dengan pembekalan komputer yang tidak seimbang antara sekolah bandar dan luar bandar, perisian komputer untuk P&P yang sesuai sukar diperoleh dan latihan dalam perkhidmatan untuk guru mengendalikan sistem komputer di sekolah yang kurang berkesan.

    ReplyDelete
  12. RUJUKAN

    Ting Kung Shiung, Woo Yoke Ling (2005) Penggunaan ICT Dalam Proses Pengajaran dan
    Pembelajaran di Kalangan Guru Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional : Sikap Guru,
    Peranan ICT dan Kekakangan/Cabaran Penggunaan ICT, Seminar Pendidikan 2005, UTM

    Zoraini Wati Abas (1993) Komputer dan Pendidikan. Kuala Lumpur : Penerbit Fajar Bakti

    Muhamad Hasan Abdul Rahman (2000). Media Pengajaran Penghasilan Bahan Pengajaran
    Berkesan, Terbitan UPM

    Rozinah Jamaludin (2003), Teknologi Pengajaran, Terbitan USM

    Musa Abu Hassan (2002) Peranan dan Penggunaan ICT di Kalangan Masyarakat, Terbitan UPM

    Sunal, Cyntia, S. Smith (1998). Using Internet To Create Meaningful Instruction, Social Studies,
    Jan/Feb 98 Vol. 89 Issue 1

    ReplyDelete
  13. salam perkenalan..
    Saya setuju dengan semua cara..

    ReplyDelete
  14. Berikut disenaraikan faktor yang menghalang aktiviti promosi pendidikan & cadangan untuk mengatasi masalah tersebut...

    1) Akses dan Ekuiti kepada Kemudahan ICT

    Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menyediakan dan mempromosikan secara meluas bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bentuk buku, courseware, kit pendidikan serta CR-ROM yang diedarkan kepada sekolah rendah dan menengah. Terdapat juga bahan P&P yang disimpan di dalam server yang boleh diakses melalui internet menerusi MySchoolNet, EduWeb TV dan sebagainya. Walaubagaimanapun, bahan yang disimpan dalam portal tersebut adalah terhad dan bilangan sekolah yang dirangkaikan kepada portal ini tidak meluas sama ada di bandar ataupun di kawasan pendalaman. Dari segi akses kepada kemudahan bahan CD-ROM terutama versi stand-alone, penyediaan dan pembekalan bahan yang terhad menyebabkan guru sukar membuat persediaan pengajaran. Cabaran KPM adalah untuk menyediakan dan membekalkan bahan e-pembelajaran yang mencukupi bagi mengukuhkan P&P.

    Cadangan:

    i)Memperluaskan dan memantapkan pendidikan bestari kepada semua sekolah dengan menubuhkan Grid Pembelajaran Kebangsaan seperti yang dicadangkan oleh National Information Technology Council (NITC). Antaranya adalah dengan memberikan peluang kepada guru dalam pembinaan dan penyediaan perisian kursus berkaitan P&P dan seterusnya memberikan insentif kepada mereka sekiranya sesuai untuk dimasukkan ke dalam Grid Pembelajaran Kebangsaan, MySchoolNet dan sebagainya;

    ii)Meningkatkan peranan MySchoolNet dan EduWeb TV sebagai Quality Information Provider bagi bahan P&P berasaskan ICT;

    2)Pengurusan dan Penyelenggaraan Perkakasan ICT

    Kebanyakan sekolah yang menerima komputer yang dibekalkan oleh KPM dan sumbangan pihak swasta menghadapi masalah kekurangan sumber kewangan bagi membiayai pembayaran bil elektrik dan disebabkan peningkatan penggunaan komputer. Sekolah juga sering menghadapi masalah memperbaiki komputer yang rosak yang akhirnya tidak dapat digunakan untuk P&P. Bagi mengatasi masalah ini, KPM perlu memperuntukkan jumlah kewangan yang mencukupi kepada institusi pendidikan untuk menampung penggunaan dan kos penyelenggaraan komputer.

    Cadangan:

    i)Prosedur penyelenggaraan perlu diwujudkan di peringkat negeri dan daerah supaya dapat diselaraskan secara sistematik dan berkesan ke semua sekolah.

    ii)Perkhidmatan anti-virus yang cekap dan terkini juga harus disediakan bagi mengurangkan risiko kerosakan dan kehilangan data-data penting sekolah atau pun bahan-bahan berkaitan P&P.

    3)Peningkatan Pengetahuan dan Kemahiran ICT

    Dalam usaha mempromosikan ICT dalam P&P, bilangan guru yang berupaya membangunkan perisian kursus dan menyediakan rancangan pengajaran berbentuk interaktif masih kecil. Pada peringkat sekolah, Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) dan Pusat Kegiatan Guru (PKG) menjadi sumber rujukan bagi guru mendapatkan khidmat nasihat berkaitan ICT dalam P&P. Namun, kemudahan dan kepakaran yang terdapat di pusat ini masih tertumpu kepada teknologi pendidikan berbentuk pandang-dengar (audio-visual).

    Cadangan:

    i)Menyediakan pakar media, pereka bentuk arahan (instructional designer) serta kumpulan pakar ICT di PSPN dan PKG yang bertauliah dan mencukupi untuk member bantuan khidmat sokongan professional dan teknikal kepada guru.

    ii)Penyediaan program latihan dalam ICT yang berkesan dan berterusan juga diwujudkan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan.

    ReplyDelete
  15. ...sambungan

    4)Pembangunan Infrastruktur ICT

    Makmal komputer yang sedia ada tidak dapat menampung keperluan sebagai makmal komputer bagi mata pelajaran elektif. Sebuah makmal hanya dapat menampung keperluan untuk lima kelas sahaja kerana setiap mata pelajaran berasaskan ICT memerlukan emapt hingga lima waktu mengajar dalam seminggu. Pembekalan komputer riba kepada guru untuk kegunaan P&P juga tidak mencukupi. Hanya sebilangan kecil guru yang memperolehi kemudahan tersebut melalui projek atau sumbangan tertentu.

    Cadangan:

    i)Menambah bilangan makmal komputer terutamanya di semua sekolah menengah bagi memastikan mata pelajaran elektif ICT dapat ditawarkan.

    ii)Meningkatkan nisbah pembekalan komputer kepada guru daripada 1 : 5 pada tahun 2000- 2005 kepada 1 : 1 bagi tahun 2006 – 2010.

    5)Pengintegrasian ICT dalam Pengajaran & Pembelajaran

    Matlamat utama pendidikan rendah adalah meningkatkan pengetahuan dan kemahiran asas dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Namun, masih terdapat ramai murid terutama di luar bandar, pedalaman dan daripada keluarga berpendapatan rendah yang belum menguasai kemahiran asas dalam mata pelajaran tersebut. Salah satu punca kelemahan ini adalah kerana majoriti guru masih menggunakan kaedah pengajaran tradisional dan kurang menggunakan ICT untuk menarik minat murid kepada mata pelajaran tersebut. Guru-guru ini bukan kesemuanya didedahkan kepada kursus ICT sebagai komponen penting dalam P&P

    Cadangan:

    i)Menekankan penggunaan ICY dalam P&P bagi semua mata pelajaran terutamanya bagi subjek-subjek teras.

    ii)Mendedahkan guru-guru dengan kelebihan dan kaedah asas pengintegrasian ICT dalam P&P menerusi latihan serta bengkel dalaman yang secara tidak langsung akan manambah nilai kemahiran ICT mereka.

    Rujukan: Pembangunan Pendidikan 2001 – 2010, Kementerian Pelajaran Malaysia.


    AHMAD KHUSYAIRI BIN ABDUL GHANI
    P51191

    ReplyDelete